Rambut yang berserabai akan mula diluruskan.
Dengan menggunakan jarinya yang lentik, Rita memulakan ‘rutinnya’ dengan memantis atau melukis kening.
Sesuai dengan bentuk mukanya yang panjang, dia akan memantis keningnya selurus mungkin menghala ke bahagian atas telinga.
Ini diikuti dengan meletakkan celak di bahagian mata, memakai bedak asas, memerahkan pipi dan diakhiri dengan memakai gincu serta ‘lipglos’.
‘Fasa’ terakhir adalah dengan mengenakan pakaian seseksi mungkin, itulah ‘senjata’ terakhirnya kerana dia tahu, hanya dengan berpakaian sebegitu, dia mampu memikat nafsu buas lelaki yang berada di luar sana.
Namun malam itu entah kenapa, Rita memulakan ‘kerjanya’ lebih awal daripada biasa…kedai runcit yang terletak berhampiran pun belum tutup.
Ketika Rita melalui kedai runcit tersebut, tiba-tiba dia terpandang tajuk besar sebuah akhbar tabloid…ALEESHA@ASHRAF MENINGGAL DUNIA.
” Saya betul-betul terkejut, rasa terlalu sedih dengan kematian Aleesha kerana apa yang arwah lalui ‘begitu dekat’ dengan saya. Untuk pengetahuan abang, saya juga dah buang kemaluan saya,” katanya sambil menundukkan wajahnya.
Menurut Rita, terlalu sukar untuk insan sepertinya hendak menerangkan apa yang mereka rasa kepada masyarakat.
Katanya, biar apa pun hujah atau perkataan yang mereka luahkan, pastinya akan mengundang kejian dan cacian.
Sebab itu, menurut Rita, mereka lebih senang memendam rasa dan melalui semua kesukaran ini secara bersendirian.
Senang cerita, katanya, mereka sudah tidak percaya siapa-siapa lagi dalam dunia ini apatah lagi mengharapkan sokongan daripada mana-mana pihak, baik NGO mahupun kerajaan.
” Malangnya ramai di antara kami yang tak mampu melalui kesedihan dan ‘kecelaruan’ ini, yang tak dapat kawal diri mula ambil dadah, malah ada yang bunuh diri, entahlah, hidup kami terlalu pedih dan perit untuk dikongsi, orang tak akan faham,” katanya sambil menyedut air limau ais yang dipesannya.
Penulis hanya membiarkan dia melayan perasaannya. Terus-terang, penulis pun tidak tahu bagaimana nak memulakan semua ini.
Pertemuan Rita bermula apabila penulis diarahkan untuk mencari mana-mana lelaki yang pernah melakukan pembedahan penukaran jantina.
Sesungguhnya ini satu tugasan yang mencabar dan memeningkan sebenarnya.
Namun Alhamdulillah, ia bagaikan dipermudahkan dan dengan bantuan pelbagai sumber, penulis berjaya menemui Rita yang ketika itu baru hendak memulakan ‘tugasnya’.
Rita dilahirkan kira-kira 30 tahun lalu di sebuah kawasan perumahan di pinggir ibu kota.
Sejak kecil lagi dia tidak pernah merasakan dirinya seorang lelaki walaupun secara fizikal dia adalah seorang lelaki yang sempurna, cukup sifat.
Seperti mana arwah Aleesha, Rita juga adalah insan yang mahu jadi 100 peratus wanita. Dia ingin menjadi wanita yang bukan dari sudut pakaian saja, tetapi juga dari segi lahiriah dan batiniah.
Perkenalannya dengan seorang jejaka Cina bagaikan merealisasikan impian Rita selama ini.
Lelaki itu sangat menyayanginya dan sanggup menghabiskan wang berjumlah ribuan ringgit asalkan berjaya memenuhi kehendak Rita.
Dan kesempatan itu digunakan Rita untuk menjadikan impiannya selama ini menjadi nyata.
” Dengan ditemani seorang ‘kakak’ angkat, saya pergi ke sebuah hospital di Haadyai, Thailand. Pada mulanya saya hanya buat pembedahan kecil untuk memancungkan hidung, tetapi melarat pula ke pembedahan membesarkan buah dada,” katanya sambil tersenyum.
Selepas pembedahan itu, Rita semakin yakin dengan dirinya.
Namun ada satu lagi perkara yang membelenggu hidupnya…juntaian daging sepanjang lima inci yang masih melekat ditubuhnya!
Menurut Rita, setiap kali membuka pakaian, dia rasa geli dengan kemaluannya sendiri. Dia kalau boleh enggan melihat apatah lagi menyentuhnya.
Rita rasa sengsara. Rita rasa mahu gila. Rita tahu dia tidak boleh lagi hidup sebagai lelaki.
Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Sekali lagi dengan bantuan kekasihnya itu, Rita ke Haadyai. Kali ini dia nekad untuk menjalani pembedahan jantina seperti yang diidam-idamkan.
Pembedahan itu mengambil masa hampir lapan jam, namun yang peliknya, kata Rita, dia langsung tidak berasa sakit kecuali sedikit pedih ketika hendak membuang air kecil.
Dia juga ditunjukkan zakarnya yang telah dipotong oleh doktor yang menjalankan pembedahan itu.
” Hampir sebulan saya di hospital, kemudian saya minta izin doktor untuk pulang ke Kuala Lumpur.
” Sepanjang proses penyembuhan itu, saya diberikan ‘acuan’ untuk saya masukkan ke dalam kemaluan bagi membolehkan ‘lubang kemaluan’ terbentuk seperti mana alat kelamin wanita, saya rasa bahagia sangat ketika itu” katanya
Namun keseronokkan dan kegembiraannya tidak bertahan lama.
Berbagai ujian dan dugaan datang bertimpa-timpa tidak lama selepas dia menjalani pembedahan.
Antaranya, kekasih yang dia sayangi itu tiba-tiba berubah hati dan terus meninggalkannya, dia juga hilang mata pencarian hingga membuatkan banyak barangan kemasnya tergadai, malah keretanya juga ditarik pihak bank.
Dia juga menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan identitinya itu.
Akhirnya, disebabkan kehilangan arah, dia terjerumus ke lembah hina….lembah pelacuran.
” Abang, Tuhan marah dengan saya….semuanya hilang dengan sekelip mata, kalau ikutkan hati saya dah tak mahu tinggal di lorong ini, saya dah tak mahu melacur, tapi saya nak makan apa, semua majikan tak nak ambil saya bekerja,”katanya dalam nada perlahan.
Menurut Rita, walaupun dia tahu perbuatannya melanggar hukum agama, namun dia tidak akan sekali-kali keluar daripada agama Allah ini.
Bahkan, dia juga akan cuba untuk bersolat seperti mana umat yang lain walaupun dia sendiri tidak tahu sama ada solatnya itu diterima atau sebaliknya.
Kata Rita, dia pernah dipenjarakan di penjara wanita kerana melacur dan diberikan telekung untuk bersembahyang.
Namun, kata Rita, dia sedar walaupun telah melakukan pembedahan, dia tetap seorang lelaki di mata Tuhan.
” Walaupun diberikan telekung dalam penjara, saya ambil keputusan untuk bersolat seperti seorang lelaki.
” Dan saya sedar, andai saya mati, saya tetap akan dikebumikan sebagai seorang lelaki,” katanya yang tiba-tiba sebak.
Menurut Rita, apa yang terjadi pada arwah Aleesha, tak mustahil akan berlaku pada dirinya dan rakan-rakan yang pernah menjalani pembedahan pertukaran jantina ini
Katanya, oleh itu, mereka tidak akan menuntut apa-apa daripada masyarakat, apatah lagi mengharapkan belas ihsan atau simpati kerana mereka sedar mereka tidak layak dilayan sedemikian
Cuma kata Rita, kalau boleh, janganlah terus menghina dan mencaci golongan seperti mereka kerana apa yang mereka lalui sebelum ini sudah cukup ‘menyeksakan’.
” Arwah Aleesha meninggal dunia kerana terlalu tertekan dengan apa yang berlaku, adakah masyarakat gembira dengan apa yang terjadi…adakah kalau boleh masyarakat tak mahu kami terus ada di muka bumi ini?
” Tolonglah…biarlah kami dengan dunia kami, izinkan kami menumpang walau sebentar, lambat laun kami akan pergi juga,” katanya sambil mengelap titisan-titisan halus di kelopak matanya.
Tidak lama kemudian telefon bimbit Blackberry Bold milik Rita berbunyi. Ada SMS yang masuk.
Sejurus selepas membacanya, Rita meminta izin untuk beredar.
Nampak ada seorang lelaki tua yang tak cukup gigi sedang tersengih memandang Rita dari dalam kereta BMW hitamnya.
Rita kemudian pergi ke arah kereta tersebut sebelum membuka pintu dan duduk di sebelah lelaki tua berkenaan.
Kedua-dua mereka kemudian hilang di balik kepekatan malam.
Penulis terdiam. Semua diam. Dunia juga seakan turut terdiam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan