Pembongkaran
oleh waris Sultan Sulu ini amat mengejutkan!! Jamalul Kiram III, yang
mengaku sebagai Sultan Sulu dan pengikutnya menceroboh Sabah serta
membunuh anggota polis Malaysia, tidak boleh menuntut gelaran yang sudah
tidak wujud lagi itu, kata sumber yang tahu dengan mendalam sejarah dan
salasilah keluarga berkenaan.
Oleh
itu, katanya, Jamalul Kiram III tidak berhak mengaku sebagai waris
kepada sultan Sulu terakhir, Jamalul Kiram II, yang mangkat pada 1936.
Sumber
itu seterusnya menjelaskan bahawa Jamalul Kiram III bukan merupakan
keturunan kepada sembilan "waris sah" Jamalul Kiram II, seperti yang
tercatat dalam "Penghakiman Macaskie" pada 1939 untuk melayakkannya
menerima bayaran bagi penyerahan wilayah Sabah, yang ketika itu dikenali
sebagai Borneo Utara, kepada British North Borneo Company (BNBC).
Sumber
berkenaan, yang amat mengenali anggota kerabat diraja kesultanan Sulu
serta begitu memahami sejarahnya berkata, mengikut salasilah keluarga,
walaupun Jamalul Kiram III merupakan kerabat diraja, beliau bukan
berketurunan waris utama yang berhak menerima bayaran penyerahan wilayah
berkenaan.
"Apabila
Jamalul Kiram II mangkat pada 1936, baginda tidak meninggalkan waris
takhta secara langsung dan dengan itu, BNBC berhenti daripada membuat
bayaran bagi penyerahan wilayah. Berikutan itu, sembilan waris berkenaan
secara berkumpulan membawa perkara tersebut ke mahkamah untuk
mendapatkan pengiktirafan sebagai pihak yang berhak menerima bayaran
tahunan itu," kata sumber berkenaan.
Pada
1939, Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Hakim Macaskie, membuat
keputuan yang menyebelahi waris berkenaan dan dengan itu, bayaran
tahunan itu disambung semula. Kerajaan Malaysia meneruskan bayaran itu
berikutan penubuhan Persekutuan Malaysia.
Pada
2011, keturunan sembilan waris utama Jamalul Kiram II memperoleh
perintah sebuah mahkamah Sulu yang mengiktiraf mereka sebagai keturunan
secara langsung kepada sembilan waris berkenaan.
Generasi
kedua waris ini ialah Dayang-Dayang Piandao Taj-Mahal Kiram-Tarsum
Nuqui, Putli Nurhima Kiram-Forman, Siti Ayesha K.H Sampang, Sulatan Fuad
A. Kiram, Dayang-Dayang Sheramar T. Kiram, Puteri Permaisuri Kiram
Guerson dan Sitti Jenny K.A Sampang.
"Oleh
itu, beliau (Jamalul Kiram III) tidak boleh mendakwa sebagai waris atau
keturunan kepada mana-mana sembilan waris utama itu," kata sumber
berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan