KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dari Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, bukan saja sanggup mendera anak mereka hingga pengsan, malah turut membiarkan anaknya itu yang berusia empat tahun bersendirian di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), pagi kelmarin.
Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki itu yang menunggu rawatan di unit kecemasan gagal diselamatkan doktor dan disahkan meninggal dunia pada jam 6.15 pagi.
Sumber polis berkata, dalam kejadian itu, sepasang suami isteri yang tinggal berdekatan PPUKM menghantar seorang kanak-kanak lelaki dipercayai anak mereka ke unit kecemasan.
“Ketika dibawa ke PPUKM, kanak-kanak terbabit yang tidak sedarkan diri ditempatkan di unit kecemasan untuk rawatan.
“Beberapa minit kemudian, ibu bapa kanak-kanak itu keluar sebelum menaiki sebuah kereta yang sedia menunggu mereka di pekarangan PPUKM dan melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, beberapa kakitangan unit kecemasan PPUKM yang menyedari tindakan itu cuba mengejar mereka namun terlambat.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kanak-kanak itu mendapati mangsa didera ibu bapanya berikutan wujud kesan calar dan lebam di seluruh badannya.
Selepas disahkan meninggal dunia, doktor yang merawat mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan, di sini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan untuk menjejaki ibu bapa mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan