KUALA TERENGGANU - Taktik licik seorang lelaki yang menggunakan helah membeli ais krim manakala dalam masa sama isterinya mencuri dua paket minuman coklat gagal mengelirukan seorang pembantu kedai.
Kejadian berlaku di sebuah kedai runcit di Kampung Gong Tok Nasek, di sini, kelmarin.
Pembantu kedai itu, Norharizan Yusof, 37, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang, hanya dia berseorangan di kedai sedang melayan seorang pelanggan sebelum didatangi pasangan berkenaan yang berusia lingkungan 30-an.
“Semasa mereka berdua masuk ke dalam kedai, saya sedang sibuk melayan pelanggan yang membeli barang dalam kuantiti agak banyak. Tetapi pada masa sama, saya cuba juga memerhati gerak geri mereka.
“Mereka berdua berpura-pura memilih barang-barang yang ada di atas rak dan semasa itu, saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah terpandang di dalam kamera litar tertutup (cctv) lelaki itu masuk ke dalam stor mengambil tiga guni bawang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Norharizan berkata, terkejut melihat tindakan itu, dia berlari keluar dari kedai memanggil lelaki berkenaan agar memulangkan semula kesemua bawang yang diambil, sambil menjerit memanggil pemilik kedai yang secara kebetulan berada di situ meminta bantuan.
“Mungkin dia terkejut melihat saya menjerit menyebut pencuri, lalu dia bergegas memulangkan semula bawang yang bernilai kira-kira RM40 itu sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai.
“Ketika itu, saya ternampak kelibat isterinya ada di sebelah tempat duduk penumpang di bahagian hadapan dan saya tidak pasti, bila isterinya masuk ke dalam kereta itu,” katanya.
Jelasnya lagi, sejurus pasangan itu pergi, dia bersama pemilik kedai melihat semula rakaman cctv dan ketika itulah, baru mengetahui pasangan berkenaan sempat melarikan dua bungkus minuman coklat bernilai kira-kira RM40.
“Dalam rakaman itu, rupa-rupanya semasa lelaki itu berpura-pura memilih barang, si isteri mengambil kesempatan mencuri dua paket milo dan dimasukkan ke dalam beg galas dibawanya.
“Selepas itu, isterinya terus keluar sebelum lelaki itu membayar harga lima batang ais krim di kaunter pembayaran dan semasa keluar dari kedai, dia masuk ke dalam stor mengambil bawang tersebut,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai, Abu Bakar Mamat, 60, berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun tetap bersyukur kerana dia dan pekerjanya tidak diapa-apakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan